15 Disember 2010

5S - Panel Penilai MPC Kagum Dan Amat Berpuashati



Sekali lagi mari kita mengucapkan syukur alhamdulillah, kerana matlamat untuk mendapat pengiktirafan dan persijilan program Amalan Persekitaran Berkualiti 5S di PAJPM telah menjadi kenyataan. 


Hasil penilaian dan lawatan yang dilakukan, panel penilai 5S sangat kagum dan amat berpuashati dengan pelaksanaan amalan 5S di PAJPM  dan memutuskan PAJPM layak untuk diberi Pensijilan 5S tanpa syarat. Dengan markah melebihi 85 peratus,  pencapaian PAJPM diiktiraf  bertaraf cemerlang atau 5 Star. 


Keputusan audit pensijilan itu dimaklumkan oleh Encik Ismail Mohd Noor dan Encik Zaki Jaafar, panel penilai daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selepas membentangkan laporan keputusan audit di hadapan Jawatankuasa 5S kelmarin. Pengumuman itu merupakan kejutan yang memberikan senyuman kegembiraan kepada ahli jawatankuasa dan pegawai PAJPM yang hadir semasa sesi penutup dan rumusan penilaian.


Kejayaan kita memperolehi pengiktirafan dan pensijilan 5S daripada MPC itu adalah hasil kegigihan dan komitmen seluruh warga kerja PAJPM serta bukti kesungguhan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti dan kondusif di PAJPM. 
 
Sementara itu, semasa sesi taklimat pengauditan 5S yang dipengerusikan oleh Dato’ Zainol Othman, TKSUK sebelah paginya, ahli panel penilai telah diberi penerangan dan taklimat pelaksanaan 5S oleh SUB(S) diikuti dengan tayangan multimedia yang memaparkan aktiviti penambahbaikan yang telah dilaksanakan di PAJPM semenjak amalan 5S mula dilaksanakan Jun tahun ini.


Selain itu, mereka turut melakukan semakan dokumentasi Jawatankuasa 5S serta mengadakan lawatan dan pemeriksaan ke semua kawasan di zon seperti bilik fail, stor, pantri, tandas, stesyen kerja dan ruang umum untuk menilai tahap kepatuhan amalan 5S dan melihat dengan lebih dekat keberkesanan amalan 5S di PAJPM.


Pada akhir sesi pengauditan, panel penilai telah membuat beberapa kesimpulan dan memberikan tip-tip serta cadangan penambahbaikan untuk diberi perhatian untuk mengekalkan kecemerlangan amalan 5S. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan