08 Disember 2011

Pengauditan MPC Bagi Pensijilan Semula 5S PAJPM Dijadual Januari 2012

Pengauditan di Zon Emerald pada 23/11/2011

Pengauditan Sudut 5S di Zon Emerald pada 23/11/2011

Berita terkini diterima blogmaster pagi ini yang pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia atau MPC akan mengadakan pengauditan bagi pensijilan semula amalan 5S bagi PAJPM pada bulan Januari 2012.

Pemerhatian oleh Blogmaster, hasil dua siri pengauditan dalaman yang diadakan sejak November lalu, didapati semua zon telah bersiap sedia untuk dinilai oleh pihak MPC.
Namun demikian, pihak  pengurusan memutuskan perlu diadakan sekali pengauditan dalaman bagi memantapkan lagi persediaan menghadapi pengauditan oleh pihak MPC tersebut.  

Sehubungan itu, Jawatankuasa Induk 5S menetapkan pengauditan dalaman siri ketiga pada 13 hingga 15 Disember 2011.

Jadi apa tunggu lagi? Jom kita luangkan masa 5 minit sebelum balik hari ini untuk kemas-kemas dan sapu habuk di sekitar tempat kerja kita.  


 "5 Minit Sebelum, 5 Minit Selepas"

27 November 2011

Terapkan Semangat Hijrah Dalam Melaksanakan Amalan 5S


Hari ini 27 November 2011 bersamaan 1 Muharam 1433H. Blogmaster ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua warga PAJPM. Mengambil iktibar semangat Hijrah dalam Islam, marilah kita sama-sama memulakan langkah untuk berubah dan menerima konsep amalan 5S yang sedang dilaksanakan sebagai suatu usaha bersama yang boleh memberi kebaikan kepada semua warga dan organisasi PAJPM amnya. Mari kita melawan sifat mementingkan diri dengan memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakannya. 

Mari kita laksanakan 5S dengan jujur, lebih bertanggungjawab, lebih berakauntabiliti dan melakukan penambahbaikan secara berterusan sehingga menjadikan falsafah amalan 5S sebagai kebiasaan dan amalan yang berterusan. ‘Shitsuke’ atau ‘Sentiasa Amal’ sesuai dengan istilah ‘amalul mutawasil’ dalam Islam iaitu amalan dan usaha yang berterusan dan berpanjangan tanpa henti, tanpa putus.  

Sempena sambutan Maal Hijrah ini juga, marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk mencapai keputusan persijilan 5S yang terbaik. Kalau ia disertai dengan niat kerana Allah, insya Allah ia akan jadi suatu ibadah yang mulia di sisi Allah.


25 November 2011

GENDANG 5S BERGEMA LAGI

 
Yes, Get Ready! Ya! Bersedia Untuk Pertandingan Pejabat Terbaik PAJPM 2011 Sempena Persijilan Amalan 5S Kali Ke-2 dan Persaingan Ke Pertandingan 5S Peringkat Nasional.
 
 
 
Salam 5S. Sudah agak lama kita tidak bersua. Blogmaster agak sibuk kebelakangan ini. Sejak kita berjaya meraih persijilan Amalan 5S Disember tahun lalu, kini gendang 5S dipalu lagi.
 
Ya, gendang dipalu dengan rentak paluan yang penuh semangat mengiringi lagu lama dengan lirik dan melodi terbaru. Blogmaster menumpang gembira kerana aktiviti 5S fasa kedua kali ini terus berjalan dengan rancak dan semangat baru.

Tahniah dan syabas kepada zon yang telah bersedia untuk penilaian Pertandingan Pejabat Terbaik PAJPM 2011 minggu hadapan (29-30 November 2011) yang dianjurkan sebagai persiapan persijilan Amalan 5S kali kedua untuk PAJPM.
 
Semua warga perlu mempastikan zon, terutama bilik dan ruang kerja sendiri berada dalam keadaan “SHITSUKE” atau “Sentiasa Amal” dan siap siaga menghadapi penilaian itu nanti. 
 
Taklimat / Kursus Pemantapan Audit 5S dan teguran juru audit semasa pra-pengauditan 5S yang dilaksanakan minggu lalu mungkin boleh dijadikan panduan oleh zon-zon untuk lebih bersiap sedia kerana pendekatan pelaksanaan amalan 5S kali ini sedikit berbeza berbanding tahun lalu.  
 

22 September 2011

Lawatan 5S Kementerian Belia dan Sukan

Jawatankuasa Induk Amalan 5S Pentadbiran Am, Jabatan Perdana Menteri (PAJPM) ingin mengalu-alukan rombongan ahli jawatankuasa amalan 5S Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengadakan lawatan hari ini, 22 September 2011 untuk melihat pelaksanaan 5S di PAJPM serta ingin menimba pengalaman dan menjadikan contoh untuk pelaksanaan 5S di KBS.
 
~Selamat Datang~