Salam Sejahtera,
PERDANA Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr Ali Hamsa menerima sijil GBI Platinum untuk Kompleks Perdana Putra dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KFM Holdings Sdn Bhd, Nurolamin Abas (kiri)
Hari ini ( 8 September 2014 ) Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menerima sijil penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Platinum.
Sijil berkenaan diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis penganugerahan sijil itu di bangunan ini.
Berucap pada majlis berkenaan, YAB DS Najib berharap lebih banyak bangunan di Putrajaya dapat menggunakan teknologi hijau bagi menjadi bangunan jimat tenaga.
Hasil kejayaan tersebut Perdana Menteri berkata, Bangunan Perdana Putra kini merupakan salah satu bangunan yang paling cekap tenaga di Malaysia dan dikategorikan sebagai bangunan hijau berprestasi tinggi.
"Saya berharap kejayaan ini mampu menjadi pemangkin kepada inisiatif serupa di seluruh Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain YAB Tan Sri Muhyiddin, yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Eksekutif Kumpulan KFM Holdings Sdn. Bhd., Nurolamin Abas dan Naib Presiden Eksekutif KFM Holdings, Fardan Abdul Majid.
KFM Holdings telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan usaha-usaha menjadikan Bangunan Perdana Putra sebagai bangunan hijau, sekali gus menyaksikan bangunan itu ditingkatkan dari segi kecekapan tenaga.
Dalam perkembangan berkaitan, YAB DS Najib berkata, sejajar dengan kejayaan Bangunan Perdana Putra sebagai bangunan hijau, tahap kecekapan tenaga yang dihasilkan di bangunan tersebut ketika ini lebih satu pertiga berbanding sebelumnya.
"Pada 2010 kadar intensiti (keamatan) tenaga bangunan di Perdana Putra adalah sebanyak 138 tetapi pada masa ini kadarnya cuma 85 sahaja," katanya lagi.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut melahirkan harapan untuk melihat seluruh Putrajaya berubah menjadi sebuah bandar hijau dan pintar yang mampu memperlihatkan kemajuan ekonomi dan teknologi di negara ini.
Terdahulu pada awal ucapannya YAB DS Najib memberi penekanan mengenai senario perubahan iklim yang boleh mengancam kehidupan manusia khususnya generasi akan datang sekiranya tiada langkah sewajarnya diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan